Kepentingan Mentor Untuk Usahawan Internet

Sekiranya anda baru sahaja menceburkan diri dalam bidang keusahawanan Internet, anda memerlukan tunjuk ajar bagaimana untuk menjadi seorang usahawan Internet yang berjaya. Sudah tentu anda boleh menghabiskan masa untuk mendalami ilmu-ilmu berkenaan keusahawanan Internet, membeli produk dan kursus yang melatih anda untuk berjaya. Namun pernahkah anda terfikir untuk mendapatkan seorang mentor untuk anda ikuti jejak langkah kejayaan beliau?

Sebenarnya, dengan cara memiliki mentor untuk perniagaan anda akan memberikan beberapa kelebihan. Mari kita lihat satu per satu kelebihan-kelebihan tersebut.

1.Belajar dari ilmu dan pengalaman mentor

Oleh kerana mentor lazimnya adalah seorang yang lebih lama berada dalam dunia perniagaan Internet, sudah tentu mereka mempunyai ilmu dan pengalaman masing-masing. Sebagai mentee, anda boleh belajar dari ilmu mentor anda bagaimana untuk memulakan sesuatu perniagaan dalam niche pilihan anda, di samping mempelajari daripada pengalaman mentor anda. Apakah yang telah dilaluinya untuk mencapai posisi beliau sekarang? Apakah kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini yang sudah tentu anda perlu elakkan dalam perniagaan anda sendiri? Semua persoalan ini boleh dijawab oleh mentor anda.

2.Tunjuk ajar dan nasihat untuk memperbaiki diri sendiri

Anda juga boleh memanfaatkan tunjuk ajar dan nasihat mentor anda bagi tujuan memperbaiki diri anda sendiri sebagai seorang usahawan Internet. Dengan mendengar dan melihat rutin mentor, anda akan mempunyai gambaran bagaimana untuk menjalankan perniagaan dengan jayanya.

3.Berkongsi sumber-sumber yang digunakan oleh mentor

Sekiranya anda beruntung, mentor anda akan mendedahkan sumber-sumber yang beliau sendiri gunakan untuk perniagaan beliau, seperti perkhidmatan penulisan ebook, rekaan grafik, penulisan auresponder, percetakan dan sebagainya. Dengan cara ini, anda tidak perlu meneliti satu persatu produk atau perkhidmatan yang anda boleh gunakan untuk perniagaan anda. Sebaliknya, mentor anda telahpun menyaring sumber-sumber ini kerana kecekapan mereka dan rekod perkhidmatan yang memuaskan, dan anda cuma perlu menggunakan sahaja sumber-sumber ini.

4.Asas yang baik untuk rangkaian jangka panjang

Dengan memiliki mentor, anda sebenarnya meletakkan asas yang baik untuk rangkaian perniagaan anda pada jangka masa panjang. Ini adalah kerana mentor anda telah lebih lama berkecimpung dalam perniagaan Internet, beliau telahpun membina rangkaian yang kukuh untuk perniagaan beliau. Sebagai anak murid beliau, anda sebenarnya mengambil jalan singkat untuk mencelah masuk ke dalam rangkaian mentor anda tadi.

Setelah mengetahui kelebihan-kelebihan mempunyai mentor untuk perniagaan anda, mungkin anda tertanya-tanya bagaimanakah untuk memilih mentor yang sesuai untuk anda? Berikut diberikan beberapa tip untuk anda aplikasikan.

5.Dapatkan pandangan rakan-rakan usahawan

Sudah tentu tip yang paling asas adalah dengan bertanyakan pandangan rakan-rakan usahawan yang lain. Terdapat beberapa medium Facebook, Twitter dan forum yang anda boleh bertanyakan pandangan tersebut. Sebagai orang baru, anda tidak perlu segan silu bertanya. Dan biasanya, anda akan mendapat maklum balas yang memuaskan daripada rakan-rakan usahawan anda yang telahpun melalui proses mentoring sebelum ini dan mereka mungkin mencadangkan beberapa orang prospek mentor yang anda boleh pertimbangkan.

6.Mentor yang sesuai dengan keperluan anda

Anda boleh gariskan kekurangan diri dan perniagaan anda dan senaraikan beberapa prospek mentor untuk dipertimbangkan. Pilihlah mentor yang sesuai dengan keperluan anda. Seorang usahawan paling terkemuka di dunia besar kemungkinan bukan prospek mentor yang terbaik untuk anda kerana mungkin ilmu dan pengalaman mereka sudah mencapai tahap paling tinggi, dan tidak bersesuaian untuk orang baru seperti anda.

7.Perhatikan kaedah komunikasi dengan mentor

Semak kaedah komunikasi dengan mentor, adakah anda diberikan peluang bersua muka dengan mentor anda, atau sekadar online chat sekali setiap minggu, ataupun komunikasi melalui emel sahaja dan terhad kepada satu emel setiap bulan? Sudah tentu anda inginkan seorang mentor yang boleh kerap berkomunikasi dengan anda bagi memenuhi keperluan perniagaan Internet anda.

8.Kelaziman anda boleh mendapatkan khidmat mentoring

Tip seterusnya adalah berapa lazim anda boleh mendapatkan khidmat mentoring daripada mentor anda, selain daripada kaedah komunikasi yang telah ditetapkan. Anda mungkin berdepan dengan situasi yang memerlukan khidmat nasihat segera daripada mentor anda, dan anda perlu yakin bahawa mentor anda sedia mendengar masalah anda untuk perbincangan dan nasihat penyelesaian.

Itulah dia perkongsian ringkas mengenai kelebihan-kelebihan mentoring untuk seorang usahawan Internet seperti anda, dan beberapa tip ringkas bagaimana untuk memilih mentor yang sesuai dengan keperluan anda.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *